Feqah

DAM HAJI DAN UMRAH

1. PENGENALAN
Dalam menyempurnakan ibadah haji dan umrah, kefahaman terhadap syarat, rukun, wajib dan cara melaksanakannya sahaja belum cukup memadai. Sebaliknya setiap bakal jemaah turut perlu mengetahui secara jelas berhubung dengan aspek penyempurnaan dam haji dan umrah. Ini kerana rukun, perkara wajib haji dan umrah serta cara bentuk pelaksanaannya mempunyai hubungan yang sangat rapat terhadap pelaksanaan sesuatu dam.

2. PENGERTIAN DAM HAJI DAN UMRAH  
Dam dalam ibadah haji dan umrah bererti denda yang dikenakan ke atas seseorang jemaah kerana sebab-sebab yang tertentu iaitu:
1)     Meninggalkan perkara-perkara yang diwajibkan;
2)     Melakukan perkara-perkara larangan semasa dalam ihram;
3)   Tidak dapat menyempurnakan haji kerana terluput wukuf, ataupun terkandas dalam perjalanan selepas berniat ihram;
4)     Mengerjakan haji secara tamattu’ atau qiran dengan syarat-syaratnya.

3) HUKUM & DALIL KEWAJIPAN HAJI DAN UMRAH
Hukum melaksanakan dam adalah wajib, ke atas seseorang yang meninggalkan perkara-perkara yang diwajibkan atau melakukan perkara-perkara larangan semasa dalam ihram atau tidak dapat menyempurnakan haji dan umrah selepas berniat ihram ataupun mengerjakan haji secara tamattu’ atau qiran dengan syarat-syaratnya.
Antara dalil yang menyatakan tentang kewajipan menyempurnakan dam ini adalah berdasarkan Firman Allah s.w.t:
Ertinya : ” Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).


(Surah Al-Baqarah : 196)


4) TUJUAN & HIKMAH DIKENAKAN DAM
Di antara tujuan dan hikmah dikenakan dam dalam ibadah haji dan umrah ialah:


  1. Menguji kesabaran dan ketabahan seseorang jemaah terhadap larangan-larangan semasa mengerjakan ibadah haji dan umrah.
  2. Mendidik seseorang jemaah supaya berdisiplin dalam mengerjakan ibadat.
  3. Supaya setiap jemaah memberikan sepenuh perhatian terhadap ibadah yang dkerjakannya.
  4. Mengingatkan kita bahawa setiap keselahan pasti ada hukumannya. Ia juga menyedarkan kita supaya berhati-hati dengan kehidupan seharian di dunia agar tidak melampaui batasan syariat yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.


5) JENIS-JENIS DAM HAJI DAN UMRAH 
Terdapat empat jenis dam haji dan umrah:
1)     Dam Tartib bermaksud dam yang wajib dibayar mengikut urutan. Tidak sah berpindah daripada satu cara penyempurnaan kepada cara yang berikutnya melainkan jika seseorang itu tidak berkuasa untuk mengadakan atau melaksanakannya.
2)     Dam Takhyir bermaksud dibolehkan memilih mana-mana jenis dam yang telah ditetapkan oleh syara’. Sah berpindah daripada satu cara penyempurnaan kepada cara yang berikutnya sama ada seseorang itu berkuasa untuk mengadakan atau melaksanakannya ataupun tidak.
3)     Dam Takdir bermaksud dam yang sah dipindahkan dari satu cara penyempurnaan kepada cara yang lain (sebagai gantian) yang berpadanan (iaitu tidak lebih dan tidak kurang).
4)     Dam Ta’dil bermaksud dam yang sah dipindahkan dari satu cara penyempurnaan kepada cara yang lain (sebagai gantian) mengikut nilainya (harganya).


 6)KESALAHAN YANG DIKENAKAN DAM & CARA MENYMPURNAKANNYA




(i) Dam Tartib & Takdir
Dam tartib dan takdir bermaksud dam yang wajib dibayar mengikut urutan berdasarkan kemampuan seseorang itu untuk mengadakan atau melaksanakannya, di mana sah dipindahkan dari satu cara penyempurnaan kepada cara yang lain (sebagai gantian) yang berpadanan (iaitu tidak lebih dan tidak kurang).
Kesalahan-Kesalahan
Cara Menyempurnakan Dam

1)      Melakukan haji tamattu’ dengan syarat-syaratnya.
2)      Melakukan haji qiran dengan syarat-syaratnya.
3)      Luput haji seperti disebabkan tidak wukuf di Arafah.
4)      Meninggalkan ihram di miqat.
5)      Tidak bermalam di Muzdalifah.
6)      Tidak bermalam di Mina.
7)      Tidak melontar di semua Jumrah.
8)      Meninggalkan Tawaf Wada’
9)      Meninggalkan perkara sunat yang telah dinazar oleh seseorang ke atas dirinya, dan menyalahi apa yang dinazarkannya seperti ia bernazar hendak bercukur tetapi ia hanya bergunting, atau bernazar hedak berjalan kaki tetapi ia berkenderaan.

i)        Menyembelih seekor kambing atau kibas atau 1/7 bahagian daripada unta, kerbau atau lembu;
ii)       Jika tidak mampu, berpuasa selama sepuluh hari, iaitu 3 hari di Makkah dan 7 hari di tanah air;
iii)     Jika tidak mampu, boleh mengeluarkan secupak beras atau gandum bagi setiap hari puasa dan dibahagikan kepada fakir miskin


(ii) Dam Tartib & Ta'dil
Dam tartib dan ta’dil bermaksud dam yang wajib dibayar mengikut urutan berdasarkan kemampuan seseorang itu untuk mengadakan atau melaksanakannya, di mana sah dipindahkan dari satu cara penyempurnaan kepada cara yang lain (sebagai gantian) mengikut nilainya (harganya).
Kesalahan-Kesalahan
Cara Menyempurnakan Dam

1)      Berjima’ yang menyebabkan rosaknya ibadah haji (berjima’ sebelum tahallul awal)
2)      Berjima’ sebelum selesai ibadah umrah.

i)        Menyembelih seekor unta;
ii)       Jika tidak mampu, dibolehkan menyembelih seekor lembu atau kerbau;
iii)     Jika tidak mampu, dibolehkan menyembelih 7 ekor kambing atau kibas;
iv)     Jika tidak mampu, dibolehkan memberi sedekah kepada fakir miskin mengikut nilai harga sesekor unta;
v)      Jika tidak mampu, dibolehkan berpuasa mengikut bilangan cupak makanan yang boleh dibeli mengikut nilaian harga seekor unta (secupak bersamaan sehari berpuasa).

3)     Tidak dapat menyempurnakan haji dan umrah kerana terkandas dalam perjalanan selepas berniat ihram.

i)        Menyembelih seekor kambing dengan niat betahallul dan bercukur atau bergunting;
ii)       Jika tidak mampu, hendaklah memberi sedekah kepada fakir miskin mengikut nilai harga sesekor kambing;
iii)     Jika tidak mampu, hendaklah berpuasa mengikut bilangan cupak makanan yang boleh dibeli mengikut nilaian harga seekor kambing (secupak bersamaan sehari berpuasa).

(iii) Dam Takhyir & Takdir
Dam takhyir dan takdir bermaksud dibolehkan memilih mana-mana jenis dam yang telah ditetapkan oleh syara’, di mana sah dipindahkan dari satu cara penyempurnaan kepada cara yang lain (sebagai gantian) yang berpadanan (iaitu tidak lebih dan tidak kurang).
Kesalahan-Kesalahan
Cara Menyempurnakan Dam

1)      Menggunting, mencabut atau membuang rambut ataupun manamana bulu dari anggota badan.
2)      Memotong kuku.
3)      Memakai pakaian yang diharamkan semasa ihram.
4)      Memakai minyak pada rambut atau bulu-bulu di muka.
5)      Memakai bau-bauan.
6)      Bercumbu-cumbuan (muqaddimah jima’)
7)      Berjima’ selepas tahallul awal tetapi sebelum berlaku tahallul thani
8)      Berjima’ selepas jima’ yang membinasakan haji dan umrah, dan sebelum daripada disempurnakan dam bagi kesalahan jima’ yang pertama.

i)        Menyembelih seekor kambing atau kibas atau 1/7 bahagian daripada unta, lembu atau kerbau; atau
ii)       Bersedekah kepada enam orang fakir miskin, setiap seorang dua cupak; atau
iii)     Berpuasa selama tiga hari.

 
 (iv) Dam Takhyir & Ta'dil
Dam takhyir dan ta’dil bermaksud dibolehkan memilih mana-mana jenis dam yang telah ditetapkan oleh syara’, di mana sah dipindahkan dari satu cara penyempurnaan kepada cara yang lain (sebagai gantian) mengikut nilainya (harganya).
Kesalahan-Kesalahan
Cara Menyempurnakan Dam

1)      Memburu binatang sama ada di tanah haram ataupun halal.
2)      Membinasakan tanaman dan pohon kayu di tanah haram seperti menebang, memotong atau mencabutnya.

i)        Menyembelih binatang ternakan yang sebanding dengan binatang buruan; atau
ii)       Memberi sedekah makanan kepada fakir miskin mengikut nilai harga binatang bandingan tersebut; atau
iii)     Berpuasa mengikut bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan nilai harga binatang bandingan tersebut.
Catatan : Jika binatang buruan itu tidak boleh dibuat bandingan dengan mana-mana binatang ternakan maka damnya mengikut harga binatang atau pokok tersebut.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan