Jumaat, 11 Jun 2010

Hukum sembelihan

SEMBELIHAN

1.PENGENALAN

Daging haiwan yang boleh dimakan seperti lembu, unta, kambing, rusa dan sebagainya adalah di antara sumber makanan yang mempunyai khasiat seperti protien yang diperlukan oleh tubuh badan seseorang manusia. Namun setiap umat Islam perlu memastikan bahawa daging yang menjadi hidangan makanan tersebut perlulah benar-benar halal dan berkualiti. Halal yang dimaksudkan bukan sahaja dari sudut jenis haiwan itu sahaja, malah turut perlu diambil kira dari sudut penyembelihan dan pengurusan sesuatu haiwan yang disembelih itu, kerana makanan yang menjadi darah daging tersebut akan mempengaruhi kesihatan jasmani dan rohani seseorang muslim.

2. PENGERTIAN

Sembelihan bermaksud menghilangkan nyawa binatang yang halal dengan cara memutuskan urat halkum dan urat merih dengan menggunakan alat yang tajam dengan niat kerana Allah dengan syarat-syarat yang tertentu.
Sembelihan terbahagi kepada tiga jenis iaitu Az-zabh (الذَّبْح) , An-Nahru (النَّحْر) dan Al-‘Aqru (العَقْرُ) :
  • Az-Zabh ialah memotong al-halqu (batang leher sebelah atas) haiwan dengan syarat-syarat yang tertentu.
  • An-Nahru ialah memotong al-labbah (اللَّبَّة) (batang leher sebelah bawah haiwan).
  • Al-‘Aqru ialah apa yang dinamakan sebagai sembelihan darurah (terpaksa). Ia dilakukan ke atas haiwan yang tidak boleh ditangkap untuk disembelih secara biasa. Caranya ialah dengan mencederakan haiwan tersebut dengan kecederaan yang membawa maut pada mana-mana bahagian badannya.

Dua jenis sembelihan yang pertama iaitu az-zabhu dan an-nahru adalah sama sahaja pada prinsip asal penyembelihan. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
أَلاَ إِنَّ الذَّكَاةَ فِي الْحَلْقِ وَاللَّبَّةِ
(رواية البُخَارِيُّ)
Ertinya: “Sesungguhnya sembelihan itu ialah di al-halqu dan al-labbah.”

Kedua-dua jenis sembelihan ini dilakukan ke atas semua jenis haiwan yang boleh ditangkap oleh manusia untuk disembelih. Namun adalah sunat menggunakan sembelihan secara an-nahru untuk menyembelih unta, manakala binatang lain seperti lembu, kerbau, kambing dan seumpamanya hendaklah disembelih menggunakan sembelihan secara az-zabhu.

3. HUKUM SEMBELIHAN

Hukum sembelihan adalah wajib dan binatang yang mati tanpa disembelih adalah dianggap bangkai, najis dan haram dimakan.
Sembelihan menghalalkan seekor binatang itu dimakan oleh orang Islam. Walau bagaimanapun, hanya binatang yang halal sahaja yang termasuk dalam kategori tersebut. Manakala binatang yang memang haram dimakan seperti babi, ular dan tikus hukumnya tetap haram walaupun disembelih oleh orang Islam.

4.DALIL

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
Ertinya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.”
(Surah Al-Maidah: 3)


دروايتكن درفد رَافِع بن خَدِيج رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، بهاوا رسول الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم برسبدا:
مَا أَنْهَرَ الدَّمَّ وَذُكِرَ اسْمُ اللهِ عَلَيْهِ فَكُلُوا مَا لَمْ يَكُنْ سِنًّا أَوْ ظُفْرًا
(رواية البُخَارِيُّ ومُسْلِم)
Ertinya: “Sesuatu sembelihan yang mengalirkan darah dengan menyebut nama Allah bolehlah kamu makan selagi tidak menggunakan gigi atau kuku (sebagai alat sembelihan).”

5.HIKMAH DISYARIATKAN SEMBELIHAN
  • Antara tujuan dan hikmah disyariatkan sembelihan ialah:
  • Terhindar dari perbuatan menyeksa binatang.
  • Boleh mematikan binatang dengan cara yang cepat dan selamat.
  • Sebagai tanda penghormatan kepada makhluk-makhluk lain ciptaan Allah
  • Membezakan antara daging halal dan haram
  • Memastikan daging bersih dan bermutu
  • Mengelakkan diri dari penyakit yang mungkin dihidapi oleh haiwan, kerana binatang yang disembelih dengan cara yang disyariatkan akan membolehkan darah mengalir keluar dari jasad binatang yang disembelih tersebut. Daging yang bercampur dengan darah akan memudaratkan kesihatan apabila dimakan. Sememangnya Islam mengharamkan penganutnya memakan darah.
  • Membuktikan ketaatan seseorang kepada Allah s.w.t kerana melaksanakan perintahNya.
  • Memperoleh keredhaan Allah s.w.t.
  • Menambah keimanan terhadap Allah s.w.t, apabila seseorang itu sentiasa menghormati dan berbuat baik kepada makhluk ciptaan Allah s.w.t yang lain.

6)RUKUN SEMBELIHAN
  • Haiwan yang disembelih
  • Orang yang menyembelih
  • Alat untuk menyembelih

7)SYARAT-SYARAT SAH SEMBELIHAN

i) Haiwan yang disembelih
  • Binatang yang disembelih adalah dari jenis binatang yang halal dimakan.
  • Menyembelih binatang yang masih hidup dan masih mempunyai hayat mustaqirrah.
  • Disembelih di bahagian leher dengan memutuskan urat halqum (saluran nafas) dan mari’ (saluran makanan) binatang yang disembelih.
  • Binatang yang disembelih mati dengan sekali sembelihan.

ii) Orang yang menyembelih
  • Mestilah dari kalangan orang Islam atau ahli Kitab, iaitu Yahudi dan Nasrani yang diharuskan berkahwin dengan mereka. Firman Allah s.w.t:

Ertinya: “…dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka)…”
(Surah Al-Maidah : 5)
  • Mestilah niat menyembelih kerana Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t:

Ertinya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah.”
(Surah Al-Maidah : 3)
  • Orang yang menyembelih tidak boleh berada dalam keadaan ihram haji ataupun umrah, jika binatang yang hendak disembelihnya tersebut adalah hasil dari perburuan. Firman Allah s.w.t:
Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram.”
(Surah Al-Maidah : 1)

iii) Alat sembelihan
  • Alat sembelihan itu hendaklah tajam dan boleh melukakan seperti pisau, parang dan seumpamanya.
  • Alat sembelihan tidak boleh diperbuat daripada gigi, tulang, dan kuku. Sebaliknya ia boleh diperbuat daripada besi, tembaga, timah, kaca, batu dan seumpamanya.

8) SUNAT-SUNAT SEMBELIHAN
Selain memastikan sembelihan yang dilakukan sah dengan memenuhi syarat-syarat yang telah dinyatakan, seseorang yang melakukan sembelihan disunatkan melakukan perkara-perkara berikut ketika menyembelih sesuatu binatang, antaranya:
  • Membaca bismillah dan bertakbir sewaktu menyembelih. Disunatkan juga menyebut bismillah sewaktu melepaskan anak panah atau binatang buruan.
  • Membaca selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w
  • Memotong urat al-wajadain (الوَجَدَيْن) sewaktu menyembelih. Urat ini ialah dua urat ditepi batang leher yang mengelilingi halqum. Ia disunatkan kerana akan menyegerakan keluarnya nyawa binatang yang disembelih.
  • Penyembelih hendaklah menajamkan mata alat sembelihannya. Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Syaddad ibnu Aus r.a, bahawa beliau berkata:
حَفَظْتُهُمَا عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ اللهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا القَتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَةَ
وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ.
(رواية مُسْلِم)
Ertinya : “Saya mengingati dua perkara yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w: Sesunguhnya Allah s.w.t mewajibkan agar berbuat ihsan dalam semua perkara. Apabila kamu membunuh maka kamu lakukanlah dengan cara yang baik dan apabila kamu menyembelih hendaklah kamu menyembelih dengan cara yang baik, hendaklah penyembelih itu menajamkan mata alat sembelihannya dan rehatkanlah binatang sembelihannya.”
  • Membaringkan binatang yang hendak disembelih ke sebelah rusuk kirinya.
  • Menghadapkan binatang yang hendak disembelih ke arah kiblat.
  • Menyembelih dipangkal leher.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan